Kerajaan perlu memperkenalkan pendekatan baharu dalam dasar perumahan negara bagi melindungi nasib rakyat yang pendapatan isi rumahnya sekitar RM3,000 sebulan bagi membolehkan mereka mampu memiliki rumah di kawasan bandar.
Ini kerana dasar sedia ada terlalu fokus untuk menyediakan rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah dengan jumlah pendapatan isi rumah kurang daripada RM2,500 sebulan, kata Senator Datuk Abdul Rahim Rahman, Pengerusi Eksekutif Rahim & Co., sebuah firma perunding pelaburan hartanah antarabangsa.
"Dasar baharu perlu digubal dengan mewujudkan fokus baharu iaitu membantu golongan berpendapatan sederhana yang berpendapatan RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah sendiri.
"Golongan tersebut ketika ini sangat sukar untuk memiliki rumah malah terpaksa bersaing dengan golongan berpendapatan tinggi dan sudah pasti mereka akan tewas," katanya kepada
Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, kini sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan kuota baharu bagi golongan tersebut menyelesaikan masalah berkenaan untuk jangka masa panjang.
Katanya, golongan yang mempunyai pendapatan isi rumah sebanyak RM3,000 sebulan semakin meningkat ketika ini seiring dengan perkembangan ekonomi semasa iaitu menjangkau 70 peratus daripada golongan bekerja di Malaysia.
"Saya mencadangkan agar diwujudkan kuota sekurang-kurangnya 20 peratus untuk golongan ini bagi setiap projek perumahan baharu di seluruh negara. Ketika ini kita sudah mempunyai dasar 30 peratus untuk rumah kos rendah dan dasar ini sangat baik dan perlu dikekalkan, cuma ditambah kuota baharu sahaja.
"Jika tidak dibuat, golongan ini akan bersaing untuk memiliki rumah kos rendah dan terpaksa melakukan penipuan dokumen atau sebagainya untuk memiliki rumah berkenaan. Akhirnya golongan berpendapatan rendah juga yang menerima kesan yang teruk.
"Perkara ini dah berlaku. Kita boleh lihat rumah-rumah kos rendah di Kuala Lumpur misalnya, pemiliknya memiliki kenderaan yang tidak melambangkan status mereka sebagai penghuni rumah kos rendah," jelasnya.
Beliau berkata, langkah mewujudkan kuota baharu tersebut merupakan cara yang paling praktikal dan tidak membebankan mana-mana pihak terutamanya pemaju perumahan.
Tidak dinafikan aspek keuntungan menjadi keutamaan pemaju perumahan, tetapi jika kerajaan berjaya mewujudkan mekanisme atau insentif yang sesuai, maka perkara ini mampu dilaksanakan, katanya.
Ditanya mengenai pembiayaan perumahan 100 peratus melalui Cagamas oleh kerajaan, Abdul Rahim berkata, cadangan tersebut memang baik tetapi beberapa persoalan seperti bilangan rumah yang ada, di mana lokasi rumah berkenaan dan kerajaan atau swasta yang bertanggungjawab membina perumahan terbabit perlu diselesaikan
"Pengumuman dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) tersebut masih longgar dari segi keberkesanannya. Insentif diberi tetapi masalah kekurangan rumah dan harga yang melampaui kemampuan rakyat tetap berlaku.
"Ketika ini, tidak ada undang-undang penyelarasan harga rumah mengikut kawasan. Maka harga ditetapkan ikut harga pasaran dan keberanian pemaju. Kesannya
dapat dilihat sekarang.
"Contohnya, rumah kos rendah di Kuala Lumpur sepatutnya berharga RM42,000, tetapi adakah masih ada rumah dengan nilai berkenaan hari ini di ibu kota?" ujarnya.
Selain masalah kuota, Abdul Rahim turut membangkitkan masalah lokasi perumahan mampu milik yang dilaksanakan ketika ini yang tidak mempunyai sistem perhubungan dan pengangkutan yang baik bagi memudahkan rakyat ke Kuala Lumpur untuk bekerja.
Beliau berkata, masalah jarak lokasi perumahan yang terlalu jauh bukan menjadi isu utama kerana semua orang sudah mengetahui bahawa Kuala Lumpur sudah tidak mempunyai tanah yang luas bagi dibangunkan untuk tujuan kediaman.
"Masalah jarak dapat diatasi jika ada sistem perhubungan yang mampu memendekkan masa perjalanan ke ibu kota, contohnya seperti lebuh raya dan sistem transit aliran ringan (LRT).
"Ketika ini saya lihat Sungai Buloh merupakan lokasi paling sesuai untuk membangunkan perumahan baharu untuk dihuni rakyat yang bekerja di Kuala Lumpur," katanya.
Ditanya mengenai dasar kuota 30 peratus untuk rumah kos rendah bagi setiap projek perumahan yang dilihat semakin kurang mendapat perhatian pihak swasta, Abdul Rahim berkata, ia hanya dasar galakkan kerajaan pusat dan bukannya undang-undang.
"Jika pihak swasta tidak melaksanakan, ia bukan satu kesalahan. Namun pihak pemaju swasta perlu ada rasa tanggungjawab kepada rakyat.
"Selain itu, kerajaan pusat tidak mempunyai kuasa dalam hal ini, kerana undang-undang melibatkan tanah dan kelulusan projek perumahan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri," katanya.
Oleh FAIRUS KASSIM

MEMPUNYAI tempat perlindungan, makanan mencukupi, pendidikan dan penjagaan kesihatan yang baik adalah hak asasi manusia untuk semua rakyat negara ini. Kerajaan mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan majoriti rakyat boleh memiliki rumah mereka sendiri atau mampu menyewa rumah perumahan awam.
Malangnya, bagi rakyat Malaysia rumah yang termampu sukar diperoleh. Harga rumah meningkat kepada paras sangat tinggi di bandar utama sehingga golongan pertengahan sekalipun tidak mampu memiliki rumah atau apartmen, apatah lagi golongan bawahan.
Pada 2009, purata harga rumah di Kuala Lumpur ialah RM390,000, iaitu hampir enam kali purata pendapatan isi rumah. Keadaannya lebih buruk di Pulau Pinang di mana purata harga rumah ialah RM540,000 atau lapan kali purata pendapatan isi rumah
Jelas ia jauh dari jangkauan keluarga yang berpendapatan sederhana. Nisbah harga rumah kepada pendapatan isi rumah iaitu tiga hingga empat kali adalah diterima di peringkat antarabangsa.
Masalahnya bukanlah ketidakcukupan rumah tetapi penawaran dan permintaan untuk rumah tidak sepadan. Majoriti rakyat Malaysia mahukan rumah yang mampu dimiliki tetapi pemaju membina rumah tidak mampu dibeli mereka.
Pemaju lebih cenderung memenuhi permintaan pelabur dan spekulator yang membeli untuk menyewa atau menaikkan harganya dan mengaut untung. Ramai daripada mereka ini memiliki dua buah rumah atau lebih.
Tidak seperti Indonesia, Filipina, dan Thailand, Malaysia adalah negara di Asia Tenggara yang membenarkan orang asing memiliki hartanah. Bank turut menyumbang kepada kenaikan harga rumah melalui pelbagai teknik pemasaran agresif. Mereka melonggarkan standard kredit dan sanggup meminjamkan sehingga 95 peratus daripada nilai hartanah.
Mereka menawarkan secara berubah-ubah, berbanding pinjaman kadar tetap untuk mengurangkan ansuran awal dalam persekitaran kadar faedah rendah. Kaedah lain untuk mengurangkan ansuran bulanan ialah dengan memanjangkan tempoh kepada 40 tahun, melampaui hayat bekerja peminjam.
Cadangan baru-baru ini untuk menawarkan pinjaman dua generasi yang boleh menjangkau 70 tahun, sama seperti berlaku di Jepun, adalah gambaran bagaimana situasi menjadi yang bukan-bukan. Peminjam digalakkan membebani generasi masa depan dengan hutang mereka sendiri.
Untuk memastikan orang kebanyakan mampu membeli rumah dan mengurangkan kenaikan harga hartanah yang tidak sihat dan tidak mapan, kerajaan perlu mengambil langkah berikut:
- Memulakan dasar perumahan awam yang menyediakan perumahan mampu dimiliki, terutama di kawasan bandar kepada mereka berada di bawah paras pendapatan tertentu. Contohnya, langkah Lembaga Perumahan Singapura di mana kerajaan menjadi pelopor kepada pembinaan rumah mampu milik untuk majoriti rakyatnya.
- Bagi sektor perumahan swasta, kerajaan mestilah mengambil peranan utama untuk mengawasi harga hartanah, mengambil langkah sesuai dan kena pada masanya untuk mengelakkan kenaikan hartanah yang tidak mapan dan tidak sihat.
- Kerajaan seharusnya meningkatkan cukai keuntungan hartanah bagi transaksi jangka pendek. Cukai keuntungan hartanah lima peratus pada masa ini bagi hartanah dipegang di bawah lima tahun tidak mencukupi. Kadar cukai seharusnya ditingkatkan dengan ketara, lebih pendek tempoh pegangan; perkara sama perlu dilakukan bagi penjualan hartanah kedua dan berikutnya.
- Kerajaan seharusnya menghentikan penjualan hartanah kepada orang asing. Bagi bukan hartanah, orang asing seharusnya tidak layak untuk mendapatkan pinjaman perumahan tempatan, melainkan mereka adalah penduduk tetap.
- Perancang bandar dan majlis tempatan seharusnya mempunyai perancangan penggunaan tanah komprehensif dan memberikan lebih kepentingan kepada membangunkan bandar mesra dan hijau, sistem pengangkutan awam kelas pertama dan mengurangkan pembinaan lebih banyak kompleks membeli-belah, pasar raya besar dan jalan.
Ringkasnya, kerajaan perlu memberikan keutamaan untuk meletakkan keperluan majoriti rakyat Malaysia mengatasi bank, pemaju, spekulator dan orang asing yang kaya.
S M MOHAMED IDRIS,
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang